Kuala Lumpur: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Putrajaya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan IFS Capital yang menawarkan pakej pembiayaan seperti pembiayaan invois dan eksport kepada ahli yang layak.
Yang Dipertua (YDP) DPMM Putrajaya Dzahir Jamudin berkata, pelan strategik yang disusun secara teliti oleh sayap Dewanmuda DPMM Putrajaya merangkumi visi, misi dan objektif utama organisasi itu bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Katanya, pelan itu bertujuan untuk mencipta persekitaran sokongan membolehkan perniagaan Melayu berkembang dalam pasaran global yang dinamik.
“Pelan ini adalah tonggak penting dalam perjalanan kami untuk memperkasakan perniagaan Melayu dan memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Dengan menyelaraskan usaha dengan keperluan semasa ahli dan memanfaatkan peluang yang sedang berkembang, kami yakin dengan keupayaan untuk memacu kemajuan mampan dalam tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perjanjian itu menandakan kerjasama bersama bertujuan untuk memberikan akses kepada ahli DPMM Putrajaya yang layak kepada penyelesaian pembiayaan fleksibel dan kompetitif seperti pembiayaan invois serta eksport.
“Kerjasama ini bertujuan untuk memperkasakan perniagaan dengan mengurangkan tekanan kewangan dan membolehkan mereka meraih peluang pertumbuhan dengan keyakinan.
“DPMM Putrajaya terus memberikan komitmen untuk menyediakan sokongan menyeluruh kepada ahlinya. Pelan strategik 2023-2026 dengan kerjasama bersama IFS Capital mencerminkan dedikasi dalam memperkasa pertumbuhan ekonomi, inovasi dan keusahawanan dalam komuniti perniagaan Melayu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IFS Capital (Malaysia) Sdn Bhd, Abdul Razak Khalil berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama itu.
“Kami sangat berbangga dengan kerjasama ini dengan bekerjasama menawarkan pakej pembiayaan disesuaikan kepada ahli layak.
“Kami dapat memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka, menyokong perluasan perniagaan antarabangsa dan memudahkan perdagangan.
“Kami juga yakin bahawa kerjasama ini akan memberikan sumbangan yang penting kepada kejayaan ekonomi komuniti perniagaan Melayu,” katanya.
Sumber: https://shorturl.at/npzY0